YBhg. Datuk Nor Yahati Awang, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menghadiri Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 yang bertemakan ‘Tatakelola Baik Aspirasi Negara MADANI’ pada 8 Januari 2024.
Majlis telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Ketua Audit Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara. Turut bersama-sama menghadiri majlis ini adalah Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan Agensi Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.
Dalam Simposium tersebut turut diadakan majlis peluncuran Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional.
Pengisian dalam Simposium tersebut turut diadakan forum dengan tajuk ‘Memartabatkan Integriti Sektor Awam melalui Pemantapan Tatakelola Baik Nasional ke arah Kemajuan Malaysia Madani’ yang menampilkan barisan tokoh seperti Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
IIM turut dijemput bagi membuka ruang pameran dalam Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 tersebut.