YBrs. Tuan Haji Abdul Rahman Mohd Din, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengetuai delegasi IIM mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bertempat di Menara KPKT, Putrajaya pada 19 Julai 2024.
Kunjungan hormat ini diadakan bagi mengadakan perbincangan mengenai peluang kerjasama dalam program-program yang dijalankan oleh IIM khususnya seperti program “Community Integrity Building” (CIB) yang bermatlamat dalam usaha meningkatkan pembudayaan integriti di kalangan komuniti setempat. Selain itu juga, kedua-dua pihak juga telah berbincang mengenai peluang pemerkasaan integriti dan tatakelola khususnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui ruang kolaborasi antara Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) dan IIM melalui pelaksanaan program latihan.
Kunjungan hormat ini juga telah disertai oleh Encik Izal Arif Zahrudin, Ketua Pegawai Operasi; Encik Mohd Hafidzi Che Md Akhir, Ketua Pegawai Strategi; Encik Zubayry Abady Sofyan, Pengarah Pusat Sektor Awam; Puan Zarina Mohamad Amin, Pengarah Pusat Pembangunan Integriti Komuniti dan pegawai-pegawai pusat.