Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan delegasi dari Unit Integriti Dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak (UNIONS) yang diketuai oleh Pengarah UNIONS, Tuan Haji Semawi bin Mohamad pada 29 Mei 2024 bertempat di Putrajaya.
Kunjungan delegasi UNIONS bersama dengan pegawai-pegawai kanan adalah bagi membincangkan perincian program-program serta aktiviti anjuran bersama antara IIM dan UNIONS bagi tahun 2024 sehingga 2025. Antara inisiatif program pembudayaan integriti yang dirangka pada tahun ini termasuklah Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM), projek Community Integrity Building (CIB) dan penganjuran Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) yang akan diadakan pada bulan September hadapan.
Pihak UNIONS dan IIM dalam perbincangan tersebut juga turut bersama merancang untuk melaksanakan beberapa program advokasi pembudayaan integriti secara beterusan dalam sektor yang lebih meluas iaitu kepada alam sekitar dan belia seperti program MIP-Extreme, Legasi Integriti Alam Sekitar (LEiKA) serta pembangunan instrumen kajian tahap integriti.
Pihak UNIONS juga menzahirkan penghargaan kepada IIM sebagai rakan kerjasama strategik yang erat khususnya dalam usaha untuk menerapkan dan membudayakan nilai-nilai integriti ke dalam perkhidmatan awam termasuk kepada seluruh lapisan golongan masyarakat melalui program-program yang dijalankan secara bersama.
Mesyuarat perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Izal Arif bin Zahrudin, Ketua Pegawai Operasi yang turut dihadiri oleh pengarah-pengarah bahagian IIM.