Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Video Lagu Integriti anjuran bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) telah diadakan pada 24 Februari 2024 bertempat di Kelab Tasik Putrajaya.
Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan turut dihadiri oleh YBrs En. Izal Arif Zahrudin, Ketua Pegawai Operasi, IIM; YBrs Tuan Haji Jais Abdul Karim, Presiden MCW; serta wakil Pegurusan Tertinggi IIM dan MCW.
Tempat pertama telah dimenangi oleh Kolej Vokasional Batu Lanchang, Pulau Pinang dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000. Penyertaan secara percuma ini secara langsung dapat mengasah bakat dan kemahiran golongan belia untuk berfikir secara kreatif bagi menghasilkan medium penyampaian maklumat kepada masyarakat dengan menarik.
Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk memperkasa dan meningkatkan penerapan budaya integriti dengan lebih berkesan dalam kalangan belia yang merupakan akar umbi masyarakat Malaysia yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.
Antara lain, ini adalah salah satu inisiatif IIM dan MCW untuk menyebarluaskan pengetahuan mengenai integriti, mempelbagaikan bahan promosi integriti untuk siaran di pelbagai media demi melestari budaya integriti dalam kalangan rakyat Malaysia amnya.