Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah berlangsung pada 9 Januari 2024 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan bersempena Perutusan Tahun Baharu 2024 YB Menteri Pertahanan.
YBhg. Datuk Nor Yahati binti Awang, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif telah mewakili IIM bagi menandatangani MoU tersebut manakala MINDEF diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak yang mana turut disaksikan YB Menteri, YB Timbalan Menteri dan Panglima Angkatan Tentera.
Objektif MoU tersebut ialah untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam program-program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam juga sektor korporat di Malaysia. Seterusnya sebagai usahasama dalam penglibatan sektor awam dan korporat bagi menjadi ahli kepada Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).
Majlis ini juga telah menyaksikan pelancaran Imej Korporat baharu bagi Kementerian Pertahanan ke arah pemodenan. Reka bentuk tersebut melambangkan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai sepunya seperti Integriti, Cekap dan Profesional dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.